Monday 19 December 2011

AKIDAH UMAT ISLAM DIANCAM DAN DIANCAM

RISALAH KRISTIAN TERUS DISEBAR DI KALANGAN UMAT ISLAM


Akidah umat Islam terus menerus diancam oleh golongan yang mahu menghancur serta melenyapkan Islam di muka bumi ini dengan pelbagai cara dan taktik. Terbaru, kelmarin seorang lelaki kulit putih dipercayai berbangsa Inggeris telah dikesan menyebarkan risalah agama Kristian kepada beberapa remaja Melayu Islam di kawasan Rumah Pangsa Sri Bagan, Bagan Dalam, Butterworth. Perbuatan lelaki asing itu disedari oleh seorang penduduk rumah pangsa tersebut yang kemudiannya melaporkan perkara itu kepada berkuasa. Menyedari tingkahlakunya diperhatikan, lelaki warga asing itu kemudiannya telah menghilangkan diri.

Walaupun risalah bertajuk "WHAT SOME PEOPLE GET HIGH ON" yang diedarkan itu hanya mengandungi ayat-ayat suci agama Kristian dan tiada unsur-unsur hasutan atau menghina agama Islam, tetapi apa yang dikhuatiri kandungannya berkemungkinan bertujuan untuk menarik perhatian golongan remaja Melayu Islam terutama mereka yang masih longgar pegangan agama. Ianya juga dilihat sebagai di antara strategi yang pelbagai yang digunakan dalam gerakan tersusun serta terancang musuh-musuh Islam untuk melumpuhkan agama Islam bukan saja di negara ini tetapi juga di seluruh dunia.

Sungguhpun satu persatu ancaman terhadap Islam yang didedahkan, tapi malangnya tahap kesedaran di kalangan umat Islam di negara ini masih rendah. Lihat saja Himpunan Sejuta Ummah di Selangor baru-baru ini, berapa kerat sahaja umat Islam yang memiliki tahap kesedaran tentang bahaya ancaman Kristian terhadap akidah Islam. Walaupun kehadiran di perhimpunan tersebut mencecah 10 ribu orang namun ianya jelas menggambarkan tahap kesedaran umat Islam yang masih rendah berhubung ancaman Kristian dan Yahudi terhadap Islam. Begitu juga dengan himpunan kedua yang serupa diadakan di Kuala Kangsar dua hari lalu hanya disertai kira-kira 3 ribu orang saja. Jelas sekali kedua-dua himpunan dengan matlamat menyelamatkan akidah umat Islam itu gagal.

Dalam pada itu, kalangan pemimpin dalam kerajaan juga dilihat acuh tak acuh saja dalam menangani isu ini. Ada sesetengahnya pemimpin politik Melayu Islam pula dilihat ambil jalan selamat kerana lebih mementingkan kedudukan politik masing-masing. Dalam pada itu, ada pula pihak yang selama ini bagaikan gegak gempita melaungkan perjuangan menegakkan Islam di negara ini, tetapi apabila timbul isu Kalimah Allah diikuti pula dengan isu menjadikan Kristian agama rasmi di negara ini dengan Perdana Menteri dari kalangan Kristian dan kemudiannya pendedahan mengenai gerakan terancang memurtadkan umat Islam seperti yang berlaku dalam upacara agama Kristian melibatkan beberapa orang Islam di Damansara Utama Methodist Church (DUMC), kelas tusyen agama Kristian yang melibatkan kanak-kanak Melayu Islam di sebuah Pusat Tusyen di Jalan Klang Lama, puak-puak tersebut "menikus" mendiamkan diri seolah-olah berdepan dengan seekor kucing. Walaupun beberapa siri demonstrasi diadakan di seluruh negara bagi membantah isu-isu tersebut, namun kehadiran masyarakat Islam dalam siri-siri demonstrasi itu amat menyedihkan. Puak-puak yang selama ini mendabik dada kononnya merekalah pejuang menegakkan Islam tidak kelihatan dan tidak diketahui ke mana mereka menghilang tetapi apabila berhimpun untuk meruntuhkan negara di jalanan merekalah di barisan hadapan menentang pihak berkuasa yang menjaga keamanan dan ketenteraman awam.

Dalam menangani isu ini juga, pihak berkuasa tertentu dilihat tidak memperlihatkan kesungguhan mereka dalam menguatkuasakan tindakan berdasarkan undang-undang yang ada. Sudah sampai masa kita ketepikan soal "nak jaga hati" yang tiada penghujungnya semata-mata atas pertimbangan politik. Adakah masyarakat Islam saja yang perlu menjaga hati kalangan bukan Islam sedangkan golongan tersebut selama ini tidak pernah peduli untuk ambil hati atau menjaga hati masyarakat Melayu Islam di negara ini? Malahan kini akidah umat Islam pula diancam secara berterusan melalui gerakan terancang rapi dalam usaha mereka menghancur serta melenyapkan Islam.

Tok Jeng - KDN dan agensi-agensi terlibat perlu tegas dalam hal ini. Jangan sekadar keluar kenyataan demi kenyataan tetapi tiada tindakan berkesan diambil.