PULAU PINANG “MINI LAS VEGAS” - DIN MAMI
Pulau Pinang kini boleh dianggap sebagai “Mini Las Vegas”. Begitulah ungkapan yang diberikan oleh Sabaruddin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Din Mami bagi menggambarkan Negeri Pulau Pinang yang dipenuhi dengan pusat-pusat perjudian mesin kuda komputer dan Internet Café. Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Gabungan Islam Amal (PERTIGA) berkata demikian dalam satu sidang media di Persiaran Bayan Mutiara, Pantai Jerjak, Pulau Pinang semalam yang disertai kira-kira 200 orang ahli PERTIGA bagi membantah kegiatan perjudian yang semakin berleluasa di negeri ini.
Menurutnya, Pulau Pinang kini telah bertukar menjadi “Mini Las Vegas” ekoran tumbuhnya pusat-pusat perjudian tersebut yang semakin ketara sehingga mendatangkan masalah kepada masyarakat. Akibat dari kegiatan itu juga, ianya turut menyumbang masalah kepada masyarakat seperti kes bunuh diri, pergaduhan serta masalah rumahtangga khususnya ke atas mereka yang terjebak dalam gejala perjudian itu selain kes-kes samun dan lain-lain gejala tidak sihat. Beliau turut mendedahkan, pihaknya telah mengesan terdapat lebih 300 premis yang mengendalikan kegiatan perjudian mesin kuda komputer dan Internet Café di Pulau Pinang sambil menunjukkan gambar-gambar premis perjudian tersebut.
Sungguhpun pihak polis telah bekerja keras menjalankan operasi membenteras kegiatan perjudian tersebut, namun begitu kegiatan haram itu tidak akan dapat dihapuskan selagi premis-premis terlibat tidak dikenakan tindakan, katanya. Namun dalam hal itu juga, Kerajaan Negeri DAP Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng langsung tidak memainkan peranan mereka malah membiarkan premis-premis perjudian itu terus beroperasi. Ini adalah kerana apa jua kegiatan yang dijalankan di mana-mana premis, ianya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Kerajaan Negeri pimpinan Guan Eng sepatutnya boleh bertindak dengan menyita premis-premis itu tetapi ianya tidak dilakukan. Menurutnya lagi, apa yang dikesalkan walaupun pihaknya telah beberapa kali ingin mengadakan pertemuan dengan Guan Eng bagi membincangkan perkara tersebut yang boleh memberi kesan negatif kepada golongan remaja, namun hasrat mereka tidak dilayan malah ditolak sama sekali oleh Guan Eng.
Umum sememangnya mengetahui bahawa judi adalah salah satu wabak yang boleh meruntuhkan sistem masyarakat. Seorang ahli PERTIGA yang ditemui mendedahkan terdapat satu kes di Pulau Pinang di mana seorang lelaki Melayu mengambil tindakan membunuh diri dengan terjun dari Jambatan Pulau Pinang ekoran tidak dapat menanggung bebanan hutang yang dengan sindiket “Ah Long” kerana kegiatan judi yang serius. Dalam satu kes terbaru di Pulau Pinang juga, seorang lelaki Melayu, untuk mengelak perbuatan buruknya berjudi diketahui oleh isteri, dikatakan telah membuat laporan polis palsu bahawa dirinya telah disamun setelah semua wang gaji yang diterima dihabiskan di pusat perjudian mesin kuda komputer. Inilah di antara kesan negatif dalam masyarakat akibat berjudi. Bagi sindiket yang mengendalikan operasi perjudian pula, keuntungan adalah matlamat utama mereka manakala soal akibat serta kesannya terhadap masyarakat, itu mereka tak peduli.
Tok Jen - Berjudi bukan budaya Melayu
No comments:
Post a Comment