Monday, 1 August 2011

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Setiap kali tiba bulan Ogos, ianya akan mengingatkan kita bahawa Ogos merupakan bulan di mana negara mencapai kemerdekaan dari belenggu penjajahan. Apa yang menarik dan istimewanya kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 itu, ianya dicapai tanpa setitis pun pertumpahan darah. Ianya adalah hasil kebijaksanaan para pemimpin serta pejuang kemerdekaan ketika itu yang diketuai oleh Almarhum YTM Tunku Abd Rahman Putra Al Haji yang kemudiannya diangkat sebagai Perdana Menteri Persekutuan yang pertama.


Sejak itu, negara terus mengorak maju selangkah demi selangkah.Sebagai rakyat seharusnya kita berbangga dan berterima kasih di atas jerih payah para pemimpin dan pejuang terdahulu di atas usaha yang telah dilakukan sehingga kita mengecapi kemakmuran hidup dalam semua aspek ekonomi, pendidikan, sosial, politik dan sebagainya.


Namun begitu, ada pula sebilangan kecil yang cuba meruntuhkan kemerdekaan yang sejak sekian lama dinikmati rakyat. Mereka bercakap tentang demokrasi, mereka cakap ini "tak bersih", "itu tak bersih" dan semua sistem dalam pentadbiran kerajaan "perlu dibersihkan". Seolah-olah mereka sahaja yang "bersih", tiada kekotoran dan cacat-celanya. Tetapi sebenarnya merekalah yang melakukan kekotoran di jalanan. Suara mereka "cukup besar" dan cakap mereka perlu diikuti dan dituruti. Sebenarnya mereka inilah golongan kecil yang bersuara besar.


Untuk mencapai kemerdekaan ini, harganya bukanlah murah. Walaupun kemerdekaan yang diperolehi itu tanpa sebarang pertumpahan darah, namun kita tidak seharusnya lupa perjuangan para pejuang terdahulu sebelumnya yang mempertaruhkan nyawa demi bumi bertuah ini. Tok Bahaman, Tok Janggut, Mat Kilau, Tok Sagor, Mat Salleh di Sabah, Rosli Dobi dan Rentap di Sarawak adalah nama-nama yang tidak seharusnya luput dari ingatan kita. Kerana merekalah negara ini masih menjadi milik kita rakyat Malaysia. Ingatlah, jangan sampai negara ini tergadai hanya semata-mata kerana golongan yang tidak tahu menilai harga sesebuah  kemerdekaan.


Anasir-anasir luar khususnya kuasa-kuasa besar sentiasa memerhati kita malahan tidak sesaat pun mereka terlepas pandang akan negara ini yang kaya dengan pelbagai hasil mahsul buminya. Sememangnya Malaysia idaman anasir-anasir luar dan kuasa-kuasa besar tertentu. Oleh sebab mereka sememangnya seronok jika rakyat negara ini terus bertelingkah. Ianya akan memudahkan mereka untuk ambil kesempatan bagi menjayakan agenda tersembunyi mereka. Talibarut kuasa-kuasa besar itu ada di mana-mana untuk mainkan peranan menghasut serta melaga-lagakan rakyat untuk bertelingkah sesama sendiri. Apa yang lebih menariknya, ada di kalangan rakyat kita sendiri yang sanggup menjadi talibarut kepada anasir-anasir luar. Mereka inilah adalah pengkhianat dan petualang yang sepatutnya kita nyahkan mereka dari bumi tercinta ini. Betullah apa yang digambarkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filemnya "Sarjan Hassan" melalui watak "Buang". Ini bukan cerita dongeng, malah berlaku di mana-mana. Apabila keadaan sudah tidak terkawal maka mudahlah mereka mengambil kesempatan. Menghayati kemerdekaan adalah lebih baik daripada mengingatinya. Pertahankan kemerdekaan.

Alangkah baiknya jika keberanian yang sebegini digunakan
untuk mempertahankan kemerdekaan negara !!

1 comment: