Saturday 5 January 2013

AMANAT HADI AWANG - KESANNYA TERHADAP PERPADUAN, KEHARMONIAN UMAT ISLAM DAN MASYARAKAT

Beberapa minggu kebelakangan ini, isu amanat Haji Hadi Awang ketika menyampaikan ceramahnya di Kg Banggol Peradong, Terengganu sekitar tahun 1981 dulu telah menjadi bualan umum. Apa yang menjadi bualan utama adalah kesan buruk yang berpunca daripada amanat songsang lagi menyesatkan itu.
Ada suami sanggup menceraikan isterinya semata-mata berpunca daripada perbezaan fahaman politik. Si suami yang begitu taksub dengan PAS dan mendokong amanat sesat yang dibawa oleh Hadi Awang tergamak menceraikan isteri kerana berpihak kepada UMNO yang suatu ketika dulu begitu popular dengan panggilan "taghut" di kalangan PAS disebabkan mengamalkan dasar "assobiyah". Terdapat kejadian di mana majlis pernikahan terpaksa dibatalkan disebabkan perbezaan fahaman politik di antara keluarga pasangan yang hendak bernikah. Kadi yang menyokong atau dibayar gaji oleh Kerajaan Persekutuan juga tidak sah untuk menikahkan pasangan dari kalangan PAS. Lebih menarik lagi, solat Jumaat yang diimamkan oleh mereka yang bukan dari kalangan PAS adalah tidak sah. Maka terjadilah solat Jumaat secara berasingan. Inilah di antara kesan daripada amanat Hadi Awang itu yang secara tidak langsung telah mengakibatkan perpecahan di kalangan umat Islam sesama sendiri dan sekaligus mewujudkan pertelingkahan serta percanggahan pendapat dalam soal yang menyentuh akidah.
Rentetan daripada apa yang berlaku, jelas memperlihatkan bahawa PAS bukan lagi sebuah parti politik yang bermatlamatkan menegakkan negara Islam, tetapi adalah sebuah gerombolan ajaran songsang yang boleh menyesatkan dan memesongkan akidah di kalangan umat Islam.

No comments:

Post a Comment