Monday 21 January 2013

KEPUTUSAN SALAH CEC DAP - AHLI DEMONSTRASI DI HADAPAN PUSAT KHIDMAT GUAN ENG

George Town, 21 Jan 2013 - Tengahari ini sekumpulan lagi ahli DAP Pulau Pinang melancarkan satu lagi demonstrasi membantah apa yang dikatakan sebagai keputusan salah serta penipuan Jawatankuasa Kerja Pusat DAP berhubung pemilihan barisan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu yang didakwa sengaja mengetepikan kalangan kaum India dalam parti berkenaan.
Demonstrasi berlangsung selama setengah jam dan disertai oleh seramai lebih kurang 60 orang pemuda yang merupakan ahli serta penyokong DAP itu bermula dengan perarakan berjalan kaki dari Kedai Kopi Excellent, Jalan Empat, Ayer Itam ke hadapan Pusat Khidmat DAP bagi kawasan DUN Ayer Puteh yang terletak di alamat No. 13B, Jalan Ayer Itam, Pulau Pinang. Adapun kawasan DUN Ayer Puteh merupakan kawasan yang diwakili oleh Guan Eng.
Sepanjang tempoh perarakan serta demonstrasi berlangsung, kumpulan ahli dan penyokong DAP itu telah melaungkan kata-kata "We Want Justice" ("Kami Mahukan Keadilan") secara berulangkali. Di antara ahli DAP yang dikenalpasti turut serta dalam demonstrasi itu ialah Sivasamy a/l Sinnathamby yang merupakan Setiausaha DAP DUN Sungai Bakap dan T. Gobi, seorang ahli DAP DUN Sungai Bakap.
Semasa demonstrasi itu juga kumpulan tersebut telah mempamirkan beberapa banner bagi meluahkan rasa tidak puashati mereka. Antara yang mencetuskan rasa tidak puashati mereka ialah penipuan serta sikap pilih kasih di peringkat kepimpinan tertinggi DAP yang mengamalkan kronisme dan hanya mementingkan puak-puak yang rapat dengan kepimpinan atasan parti dengan meminggirkan pemimpin dari kalangan kaum India. Bagi mereka, DAP telah melupakan pengorbanan masyarakat kaum India terhadap parti itu pada pilihanraya umum keduabelas lalu. Selain itu, mereka turut mempersoalkan identiti bangsa sebenar budak suruhan Guan Eng iaitu Zairil Khir Johari yang didakwa oleh Guan Eng sebagai berketurunan Melayu. Seterusnya mereka juga mendesak agar pemilihan CEC diadakan semula secara lebih adil dan telus.
Ini merupakan bantahan kali ketiga ahli-ahli DAP berhubung isu pemilihan CEC parti itu. Sebelum ini dua demonstrasi seumpamanya turut dikesan pada Rabu lalu di Perai, Bukit Mertajam dan pada Jumaat lalu di Komtar, Pulau Pinang.
Apakah yang dapat dinyatakan di sini, signifikan di sebalik demonstrasi serta bantahan oleh ahli-ahli DAP itu jelas memperlihatkan bahawa wujudnya kronisme, pilih kasih malahan penipuan serta sikap perkuaman dalam parti ultra kiasu yang dikuasai oleh Dinasti Lim itu. Selama ini parti ini secara berterusan tanpa henti menuduh Kerajaan Persekutuan mengamalkan kronisme, menyeleweng, melakukan penipuan ke atas rakyat dan tidak bersih dengan menggambarkan bahawa hanya DAPlah yang bersih dalam memperjuangkan nasib rakyat, tidak menyeleweng melakukan penipuan serta tidak korup. Tetapi jelas dan nyata kini, DAP serta kepimpinannya terutama Guan Eng tidak boleh dipercayai dan cakap tidak serupa bikin.

No comments:

Post a Comment